FotoJuara Kategori Laut, Ahmad Faizal (tengah) bersama Mohd Kamal (kiri) dan Abdul Rahman bersama ikan dipancing pada Grand Slam GP Joran 2013, semalam.

Kuala Dungun: Menepati ramalan, Asrul La Juang dari Bachok, Kelantan menjadi pemilik sebuah PERODUA MyVi apabila muncul juara Kategori Laut Grand Slam GP Joran 2013 yang berakhir di sini, semalam.

Mohd Zaini Ab Rasid pula memenangi kereta PERODUA Viva Elite apabila menguasai Kategori Pantai.

Pada saingan siri terakhir GP Joran itu, Asrul, 51, berjaya menambah dua mata Grand Slam menjadikan keseluruhan 124 mata apabila berjaya mendaratkan tenggiri seberat 4.4 kilogram (kg) sekali gus mengetepikan cabaran dua pesaing terdekat, iaitu Mohd Alfi Sulhi Hassan dan Ibrahim Mohd Salim menaiki bot sama.

Bagaimanapun, Mohd Alfi dan Mohd Ibrahim masing-masing dari Johor dan Selangor berjaya membawa pulang enjin sangkut Selva 30 kuasa kuda dan bot getah Sevylor tajaan Marine Selva dan Universal Fitness & Leisure (Coleman).

Sementara itu, Mohd Zaini, 30, yang menduduki tempat ke-14 GP Joran turut menambah 27 mata lagi mengganti pendahulu Umar Matohir, menjadikan keseluruhan 116 mata mengatasi Sulaiman Ab Latif dan Wong Seng.

Sulaiman serta Wong Seng masing-masing dari Kelantan dan Pahang turut membawa pulang enjin sangkut Selva 15 kuasa kuda dan bot getah tajaan Selva dan Coleman.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi Terengganu, Roslee Daud. Hadir sama Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Za’abar Mohd Ajib dan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Ismailid. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2013, Ahmad Fathil Abd Ghani; Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob; Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Dungun, Mohd Izzham Faruza dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Dungun, Mohd Abdul Ghani.

Kategori Laut, Pantai

Dalam pada itu, pemancing tuan rumah, Ahmad Faizal Remli, 21, muncul juara Kategori Laut dan Mohd Nazari Mohd Nor dari Selangor menjuarai Kategori Pantai pusingan kelima GP Joran.

Ahmad Faizal dari Terengganu berjaya mendaratkan kerapu seberat 14.88kg, sekali gus membawa pulang wang tunai RM25,000 diikuti Mohd Kamal Husain sebagai naib juara dan tempat ketiga, Abdul Rahman Mohamed Ali.

Naib Johan Kategori Laut, Mohd Kamal (Terengganu) dan Abdul Rahman (Pahang) dengan tangkapan masing-masing ibu gelama seberat 13.72kg dan 13.66kg. Mereka berjaya membawa pulang wang tunai masing-masing RM10,000 dan RM4,000 berserta hadiah iringan dari penaja.

Naib Johan Kategori Pantai pula dimiliki Abdullah Mohd Zin (Terengganu) manakala tempat ketiga, milik Roslan Awang ((Terengganu) dengan tangkapan ebek dan kerapu.

Penaja utama GP Joran untuk siri pusingan akhir ialah Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), TCE Tackles, PETRONAS Dagangan Sdn Bhd (Gas Petronas), Nestle Product (Nestle/Maggi), TCE Tackles Sdn Bhd (TCE Tackles).

Turut mengambil bahagian Universal Fitness & Leisure (UFL Coleman); Adabi Consumer Industries (Adabi), Catalyst Nutraceucical (M) Sdn Bhd; Zulkifli Bamadhaj (Petani), Amenkay Teknik Sdn Bhd (Amenkay) dan Clixters Mobile yang mengedarkan 2,000 kad sim prabayar kepada peserta dan pengunjung.

Sumber : Berita Harian

(1124) Views