perodua-s-series

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) yakin mampu mencapai sasaran jualan 194,000 unit tahun ini, sekali gus mengatasi rekod jualan yang dicatat tahun lalu sebanyak 189,000 unit.

Presiden merangkap Ketua Eksekutif, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata hingga November 2013, syarikat sudah menjual kira-kira 187,000 unit pelbagai model PERODUA.
Promosi agresif

Katanya, dengan 2013 bakal berakhir tidak lama lagi, pihaknya kini sedang giat melaksnakan promosi agresif termasuk menawarkan pemberian rebat bagi menarik lebih ramai pembeli.

Kami berharap akan dapat menjual dan menghabiskan lebihan stok bagi model keluaran tahun ini sebelum berakhirnya 2013 dan tidak mahu membawanya hingga ke tahun depan kerana ia membabitkan perbelanjaan tinggi, katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Grand Slam GP Joran 2013 di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Kuala Lumpur, semalam.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Operasi PERODUA, Zahari Husin; Pengarang Kumpulan BH, Mahfar Ali dan Pengarang Eksekutif Rencana BH, Zainor Said.
Pada majlis itu, juara kategori laut iaitu Asrul La Juang, 51, membawa pulang kereta Perodua MyVi Edisi Khas (SE) berserta wang tunai RM25,000 manakala bagi kategori pantai pula, Mohd Zaini Ab Rasid, 30, menerima Perodua Viva SE berserta wang tunai RM25,000.

Pada majlis sama, PERODUA menerusi Aminar Rashid turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM55,300 kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima yang diterima oleh Mahfar.

Mengulas bencana banjir di beberapa negeri ketika ini, beliau mengakui keadaan itu akan memberi kesan kepada jualan kenderaan PERODUA tetapi keadaan itu tidak merebak sehingga menjejaskan sasaran jualan syarikat.

Dijangkakan jualan syarikat akan terjejas sedikit berikutan bencana alam ini, namun tidak pasti sejauh mana ia akan menjejaskan kami, katanya.

Beliau menambah, sebagai tanda keprihatinan PERODUA kepada pelanggannya yang terjejas dengan banjir, syarikat menyediakan bantuan dengan memberi diskaun ke atas alat ganti terpilih dan pemeriksaan percuma untuk menentukan tahap kerosakan kenderaan.

Selain itu, PERODUA juga akan memberi bantuan hingga RM100 kepada pelanggan yang ingin menggunakan perkhidmatan trak tunda untuk menunda kenderaan mereka ke bengkel PERODUA.

Pelanggan kami, paling penting bagi kami dan perkhidmatan nilai tambah yang disediakan bertujuan membantu meringankan beban mereka ketika menghadapi bencana kali ini, katanya

Sumber : Berita Harian Online.

(556) Views