perodua buddyzKUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) — Pembuat kereta nasional kedua, Perodua, hari ini mempamerkan model kereta konsep, Perodua Buddyz, yang mungkin merupakan kereta sedan pertama syarikat itu, pada Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2013.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Aminar Rashid Salleh berkata model konsep itu adalah hasil daripada inspirasi dan wadah industri automotif dan dibantu oleh rakan teknikal dan teknologinya, Daihatsu Motor Company of Japan.

“Memandangkan kita kini memasuki fasa di mana kami mampu mengeluarkan reka bentuk badan atas bertaraf dunia, model ini merupakan langkah evolusi akan datang dalam sejarah Perodua,” katanya pada pameran model konsep itu di sini.

Beliau berkata Buddyz dibangunkan oleh bakat tempatan dan merupakan pencapaian teknologi hasil daripada penyelidikan yang dijalankan bagi memahami keperluan purata pemilik kereta Malaysia.

“Segala-galanya, dari reka bentuk luaran sehingga pembangunan enjin, dirancang dengan teliti dan dilaksanakan bagi memberikan pengalaman pemotoran terbaik kepada pelanggan kami pada harga mampu milik,” katanya.

Beliau berkata kereta itu akan menggunakan enjin aluminium yang dibangunkan untuk memenuhi standard global bagi pelepasan karbon yang rendah, prestasi enjin dan kecekapan bahan api.

Bertema ‘Efficiency in Motion’, edisi kelapan KLIMS di Pusat Dagangan dunia Putra di sini dibuka kepada orang ramai mulai esok hingga 24 November, dengan sasaran menarik 330,000 pengunjung.

Sumber : BERNAMA

(10063) Views