Kualiti AlzaKUALA LUMPUR 15 Nov. – Keseluruhan kualiti awal kenderaan baharu di Malaysia telah meningkat dengan ketara buat empat tahun berturut-turut, menurut Kajian Kualiti Awal (IQS) Malaysia 2013 oleh J.D Power Asia Pacific.

Kaji selidik itu yang kini memasuki tahun ke-11, telah memeriksa kualiti kenderaan baharu dalam tempoh dua hingga enam bulan pertama semasa pemilikan.

Komponen-komponen yang diukur, kata kenyataan tersebut adalah sudut luaran kenderaan, pengalaman pemanduan, ciri-ciri kawalan, paparan, audio, hiburan, navigasi, tempat duduk, dalaman kenderaan dan enjin serta transmisi.

Keseluruhan skor awal kualiti ditentukan oleh jumlah masalah yang dilaporkan bagi setiap 100 kenderaan (PP100), dengan jumlah kadar lebih rendah bagi kekerapan masalah menandakan kualiti yang lebih tinggi.

Katanya, keseluruhan kualiti awal di Malaysia menampilkan jumlah purata 88 per 100 (PP100) pada 2013, satu peningkatan yang ketara, berbanding 111 PP100 pada 2012 dan 124 PP100 pada 2011.

Kualiti awal telah meningkat dari 2012 dalam kesemua lapan komponen masalah dengan kemajuan terbesar ditampilkan dalam pengalaman memandu, enjin dan transmisi masing-masing pada 7.0 PP100 dan 5.8 PP100.

Masalah paling kerap dilaporkan oleh pemilik kenderaan baharu pada 2013 adalah pintu depan yang susah dibuka atau ditutup, bunyi angin berlebihan, pintu sebelah belakang susah dibuka dan ditutup, brek bising dan penyaman udara lambat menyejukkan persekitaran di dalam kereta.

Pengurus bagi Negara Malaysia J.D. Power Asia Pacific Singapura, Rajaswaran Tharmalingam berkata, pasaran automotif di Malaysia kini semakin kompetitif dengan peningkatan bilangan kenderaan baharu.

“Perkara ini menjadi amat penting kepada jenama-jenama kereta supaya berusaha untuk memenuhi perubahan landskap kompetitif dengan kereta berkualiti tinggi dan trak ringan.

“Penambahbaikan kualiti berterusan di seluruh industri adalah menggalakkan, tetapi pada masa yang sama amat penting bagi pengeluar kereta kekal menumpukan perhatian kepada kualiti,” katanya.

Kaji selidik itu adalah berdasarkan maklum balas diterima dari 3,122 pemilik kenderaan baharu di antara Ogos 2012 dan Mei 2013.

Ini meliputi 65 model kereta penumpang, pikap dan kenderaan utiliti yang terdiri daripada 16 jenama dan dijalankan di antara Februari dan Julai 2013.

Antara 65 model yang diteliti dalam kajian, dua model Toyota, model Ford dan Mitsubishi menduduki di tangga teratas dalam segmen masing-masing.

Toyota Avanza menguasai segmen MPV/van buat tahun keempat berturut-turut dengan skor 52 PP100. Toyota Innova menyusul pada tempat kedua (62 PP100) dan diikuti oleh Perodua Alza (70 PP100).

Bagi segmen kereta saiz pertengahan permulaan, Ford Fiesta terletak di tangga tertinggi dengan skor 57 PP100, diikuti Honda City pada tempat kedua (58 PP100) dan Nissan Almera pada tempat ketiga (64 PP100).

Segmen kereta saiz pertengahan pula menunjukkan Toyota Corolla Altis menguasai di tangga teratas dengan skor 50 PP100. Proton Inspira menyusul di tempat kedua (64 PP100), diikuti Honda Civic (74 PP100).

Mitsubishi Triton menduduki tangga teratas dalam segmen pikap dengan skor 52 PP100, disusuli Toyota Hilux pada tangga kedua dengan 56 PP100.

Sumber : Utusan Online

(5627) Views