SEREMBAN, 2 Mei (Bernama) — Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) Datuk Aminar Rashid Salleh berkata Perodua masih lagi menjadi jenama kereta (kereta kompak) kegemaran di negara ini.

Katanya, walaupun Perodua hanya menjual tiga model sahaja iaitu Viva, Myvi dan juga Alza tetapi ia masih lagi kekal sebagai syarikat penjualan kereta nombor satu di negara ini selama tujuh tahun berturut-turut.

“Tahun lepas kita dapat menjual 189,000 buah kereta manakala sasaran kami tahun ini ialah 194,000 buah. Setakat suku tahun pertama tahun ini kita sudah pun menjual lebih kurang 46,700 buah, berbanding tempoh yang sama tahun lepas sebanyak 44,700 buah,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pusat servis dan alat ganti C&C Automobile Sdn Bhd di sini, hari ini.

Katanya, walaupun data bulan April lepas belum dikeluarkan tetapi beliau menjangkakan pencapaian yang baik berikutan pelancaran varian S-Series bersempena sambutan ulang tahun ke-20 tahun Perodua pada 13 Mac lepas.

Katanya, sejak ia dilancarkan sehingga akhir April lepas, Perodua menerima 21,000 buah tempahan dan daripada jumlah itu 13,000 buah telahpun diserahkan kepada pelanggan.

“Untuk tempoh ini, kita masih lagi menerima tempahan untuk varian S-Series ini kerana ia mempunyai nilai tambah. Bagaimanapun, keadaan pasaran kereta terutama dua minggu yang lepas ini ada sedikit kelembapan (penurunan) berikutan kenyataan pihak tertentu kemungkinan penurunan harga kereta selepas pilihan raya umum ini.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kalau harga kereta diturunkan secara mendadak, ini tidak baik untuk pasaran. Kita menyokong dan menyarankan supaya penurunan ini dibuat secara bijaksana, berperingkat-peringkat dan berhemah supaya ia tidak memberi kesan yang besar terutama kepada kereta terpakai.

“Kalau penurunan harga kereta dibuat secara mendadak, bukan sahaja nilai harga itu akan turun dan memberi kesan kepada pemasaran kereta terpakai, malah, juga memberi kesan kepada pihak bank, insurans dan sebagainya. Itu sebab kita sarankan jika hendak dibuat penurunan harga hendaklah dibuat secara berhemah dan berperingkat-peringkat,” katanya.

Dalam pada itu, Aminar Rashid berkata Perodua berharap dapat memberi produk berkualiti dan servis yang terbaik kepada pelanggan.

“Jadi, kalau kita ada produk berkualiti dan servis yang baik, sudah tentulah pelanggan membelinya. Kita hendak supaya jenama Perodua menjadi jenama kegemaran ramai. Kita hendak menjual sebanyak mungkin produk kita yang berkualiti dan dalam masa yang sama memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan supaya pelanggan terus memberi sokongan pada jenama kami sama ada menerusi pembelian, penukaran pembelian atau pun ‘after sale service’,” katanya.

Sementara itu, setakat ini Perodua mempunyai 186 pusat jualan dan 176 pusat servis di seluruh negara.

Sumber : BERNAMA

(1479) Views